Apabila
Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan beberapa sebab yang menyebabkan kemantapan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercalar dan tergugat, memang tidak
dapat dinafikan kebenaran yang disampaikan olehnya. Tetapi adakah ramai pihak
yang menyedari hakikat permasalahan ini atau mereka tidak mengambil endah?
Gambaran-gambaran senario yang dihadapi oleh bahasa Melayu seperti yang
dinyatakan oleh Dr. Awang seperti, ``Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam
sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian
pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib,'' merupakan satu gambaran
ringkas tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.
Pelaksanaan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan
pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa
Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran
Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan
1996. Namun begitu sistem pendidikan yang ada pada hari ini seperti menidakkan
kemampuan bahasa Melayu dalam mengembangkan ilmu. Hinggakan ada di kalangan
para pelajar yang hanya mempelajari bahasa Melayu atas dasar keperluan
peperiksaan sahaja.
Ini
terutamanya apabila bahasa Melayu menjadi syarat untuk para pelajar memasuki
institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Tetapi bagaimana pula dengan syarat
kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Adakah bahasa Melayu
menjadi satu tiket syarat utama untuk pelajar melayakkan diri mereka masuk ke
IPTS?Penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan haruslah dimulakan pada
peringkat awal prasekolahan lagi, jangan sesekali membenarkan pihak sekolah
mengecilkan ruang masa untuk pelajar mempelajari bahasa Melayu.
Bahkan pada
peringkat sekolah menengah pula pelajar harus ditekankan lagi peri pentingnya
bahasa Melayu untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Jangan sewenang-wenangnya mengatakan cukup sekadar mendapat kepujian dalam
bahasa Melayu untuk melayakkan pelajar lulus dalam peperiksaan yang diduduki
tetapi semai dan tanam perasaan cinta kepada bahasa Melayu agar mereka tidak
merasa malu untuk terus bertutur dan menggunakan bahasa Melayu.
Hakikatnya
kini terdapat segelintir pelajar lepasan sekolah yang merasa malu untuk
bertutur dan menggunakan bahasa Melayu kerana sikap mereka yang terlalu
mengagungkan bahasa asing.Bahkan dalam satu keadaan terdapat pelajar yang
secara terus terang mengatakan tidak faham sekiranya pengajaran di dalam kelas
disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun zaman persekolahan mereka bahasa
Melayu menjadi bahasa pengantar.
Adalah
mustahil untuk menerima hakikat pelajar yang baru meninggalkan zaman
persekolahan dalam masa tidak sampai satu tahun sudah melupakan bahasa Melayu.
Sumber : http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=760
No comments:
Post a Comment