Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP)
dari 2013-2025.
Sebagai
gantian kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang
dilancarkan oleh YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.
Muhyiddin
menjelaskan semasa pembentangan pelan PPP bahawa ia dirangka menerusi jelajah
dialog di seluruh negara dimana 7,039 syor diterima dan 12,000 peserta ambil
bahagian.
Selain itu
sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan.
Muhyiddin
menyifatkan PPP adalah satu referendum bersejarah yang melambangkan
cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
Menurut
beliau pelan itu sasarkan enam aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta
identiti nasional.
Pelan ini
berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian
dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian
semula sistem pendidikan ini telah dilakukan dengan amat teliti dan kualiti
analisanya menepati standard antarabangsa.
Sebelas
anjakan yang digariskan kementerian ialah:
1. Menyediakan
kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian
akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian
akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran
kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji
kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus
perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan
pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun
sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam
tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk
pemikiran aras tinggi.
2. Memastikan
setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian
akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000
guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua
tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan
intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.
Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan
memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah,
merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini,
Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017.
Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti
bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa
yang lain.
3. Melahirkan
rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk
semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti
nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan
Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak
aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam
kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi
pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga
akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila
nilai-nilai sejagat diajar.
4. Meningkatkan
kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian
akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya
30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion
perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan
mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang
menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam
tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.
5. Memastikan
pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian
akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan
kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan
guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru
besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin
bandar.
6. Mengupaya
JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian
akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah
(SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners)
secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan
akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu
projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013
sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.
7. Memanfaatkan
ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian
akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui
perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai
sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai
akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk
perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.
8. Mentransformasi
kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur
organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih
dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara
langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.
9. Memperluaskan
jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta:
Kementerian
akan memperluaskan capaian Sistem Analisis
Peperiksaan Sekolah (SAPS) untuk
membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah
Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan
pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
10. Memaksimumkan
pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian
akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang
hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun,
Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan
memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran
dan latihan guru.
11. Meningkatkan
Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak
berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap
kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian. Laporan
Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan
utntuk tatapan umum mulai 2013.
Kesimpulan:
Sekiranya
semua 11 anjakan dalam pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk
tempoh 13 tahun akan datang, Malaysia akan menyaksikan satu anjakan besar dalam
sistem pendidikan negara, iaitu daripada sistem yang berfokuskan akses, kepada
pendidikan yang berfokuskan kualiti. Kementerian akan mewujudkan Unit
Penyampaian Pendidikan untuk memacu perlaksanaan pelan ini.
Sumber : http://hhalem.blogspot.com/2012/09/pelan-pembangunan-pendidikan-ppp-dari.html
No comments:
Post a Comment