Apabila
Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini mewajibkan kesemua 65 ribu orang
pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan
Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, kalangan
pejuang bahasa menganggapnya sebagai langkah meletakkan semula kedudukan bahasa
Melayu dalam sistem pengajian tinggi di negara ini.
Dengan
mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di negara ini
bolehlah mereka memahami budaya setempat dengan lebih baik dan sekali gus
mengembangkan dan menambah bilangan penutur bahasa Melayu di peringkat
antarabangsa.
Sejarah
membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca.
Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu
dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu,
bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi
antarabangsa.
Demi memupuk
perpaduan kaum di negara ini, maka dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa,
tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang
berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.
Walau bagaimanapun, kemajuan ke
arah ini hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh
dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan Razak jelas bahawa dasar
pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di negara ini.
Malah dalam
Laporan Rahman Talib 1960, kedudukan sekolah rendah ditukar kepada sekolah
kebangsaan dan jenis kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah
untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini di samping memantapkan lagi
kedudukan bahasa Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sumber : http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=14
No comments:
Post a Comment